Kota Kinabalu, 27 Februari : Presiden
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan mahu rakyat
negeri ini sedar dan peka terhadap ‘lakonan’ dan sandiwara Barisan Nasional
(BN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Katanya, BN melalui UMNO kini diambang keretakan kepimpinan namun masih
giat menyusun strategi licik untuk terus menjajah negeri Sabah.
“Ketika presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan
perletakkan jawatan dalam UMNO dahulu, beliau dengan penuh rasa sedih
menyatakan bahawa dia masih sayangkan UMNO iaitu parti keramat bagi dirinya.
“Ini jelas membuktikan mereka mempunyai agenda tersirat yang perlu
difahami dan diperhalusi oleh rakyat Sabah,”katanya dalam satu kenyataan
disini.
Jeffrey berkata, agenda bagi ‘menjajah’ Sabah turut dapat dilihat
melalui kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad yang kini
mengetuai kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Semenanjung.
“Beliau (Tun) juga pernah menjelaskan bahawa ingin menjatuhkan
kepimpinan Perdana Menteri sekarang iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi
menyelamatkan UMNO.
“Jelas disini Tun akan kembali kepada UMNO setelah Najib berjaya
dijatuhkan dan UMNO akan terus menguasai
selain terus menjajah Sabah,”katanya.
Sementara itu, Jeffrey berkata, pihaknya yakin gandingan Tun Mahathir,
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohd Shafie adalah dalam kumpulan UMNO Team B yang
masih berjiwa UMNO dan BN.
“Sekiranya UMNO Kumpulan B ini menang maka Mahathir akan dilantik semula
sebagai Perda Menteri Malaysia dan jelas terbukti apabila PH bersetuju bahawa
bakal calon Perdana Menteri adalah Mahathir.
“Inilah yang akan disokong oleh Warisan dan dengan slogan ‘Regime Change’
mereka maka sangat jelas Mohd Shafie turut menyokong penuh tanpa berbelah
bahagi kepada Mahathir,”katanya.
Menurutnya, jelas Warisan akan menjadi ‘jambatan’ kepada parti Malaya
untuk terus menguasai dan menjajah Sabah.
Dalam pada itu, Jeffrey turut tertarik dengan pandangan individu bernama
Juliana Siton yang tanpa sedar hanya mencari kedudukan dan populariti atas
kepercayaan bahawa kumpulan ini sahaja mampu menumbangkan UMNO.
“Menurut artikel yang diperkatakan Juliana, jelas melihatkan bahawa
beliau tidak mempunyai perjuangan tulen, tiada pendirian dalam politik dan
prinsip kerana sanggup berbuat apa saja termasuk ‘menjilat ludah sendiri’ yang
pernah dilemparkan kepada Tun suatu masa dulu.
“Sayang sekali individu seperti Juliana Siton seorang warga KDM kerana
sanggup mengkhianati bangsa dan perjuangannya sendiri demi kedudukan,”katanya.